Disebabkan Hilang Pekerjaan, Ramai Jadi Gelandangan

ISU SEMASA

IPOH: Jumlah gelandangan di negeri ini didapati bertambah disebabkan ramai yang hilang pekerjaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, kebanyakan yang hilang pekerjaan terdiri daripada mereka yang bergaji hari yang hilang pendapatan kerana sektor perniagaan mereka tidak dapat beroperasi semasa PKP.

Menurutnya, disebabkan hilang pekerjaan, mereka tidak mampu membayar sewa rumah atau bilik dan menjadi gelandangan.

Katanya, kerajaan negeri membantu golongan itu memperoleh pekerjaan melalui sesi job matching oleh  Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)  dan selain dirujuk ke Anjung Singgah sementara mencari tempat tinggal tetap.

“Seramai 63 gelandangan  diselamatkan dalam Operasi Menyelamat Gelandangan (OMG) yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dan dibantu Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) sejak 5 Jun lalu.

“Daripada jumlah itu, gelandangan yang berada di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Sementara di sini hanya 24 orang kerana ada yang ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) dan telah diambil oleh waris.

 

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah melakukan profiling gelandangan untuk membantu mengesan waris mereka supaya mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga,” katanya  pada majlis pengoperasian PPG Sementara di sini hari ini.

Menurut Wan Norashikin, kesemua gelandangan yang diselamatkan itu telah menjalani ujian saringan dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase atau RT-PCR Covid-19 yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selain pemeriksaan kesihatan berkala oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata, jumlah gelandangan lelaki lebih ramai berbanding wanita berusia antara 31 hingga 82 tahun. – UTUSAN ONLINE

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *