14 Beranak Termasuk Menantu Tinggal Sebumbung Di rumah Sempit

ISU SEMASA

SUNGAI PETANI: Kesempitan hidup menyebabkan seramai 14 beranak terpaksa tinggal sebumbung dalam keadaan sempit dan tidak selesa di sebuah rumah di Kampung Keda Che Bema, Sungai Jagung, di sini.

Yusuf Ismail, 57 berkata, dia dan isteri, Kalsom Baharom, 52, tinggal bersama enam orang anak mereka, terdiri daripada lima lelaki dan seorang perem­puan yang berusia antara 14 hingga 39 tahun, seorang menantu perempuan berusia 28 tahun (isteri anak ketiga) serta lima orang cucu, berusia antara lapan bulan hingga 14 tahun.

Menurutnya, anak keduanya, Norasikin, 34, berstatus ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak yang berusia dua dan 14 tahun manakala anak bongsunya, Muhammad Fitree, 14, berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran dan kini belajar dalam aliran Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsan (SK) Taman Intan, Sungai Petani.

Katanya, kini perbelanjaan keluarga mereka itu ditanggung oleh empat orang anak lelaki dan seorang menantu perempu­an mereka yang bekerja sebagai nelayan sungai dengan pendapatan tidak menentu.

“Sebelum ini saya dan isteri juga bekerja sebagai nelayan sungai namun terpaksa berhenti buat sementara waktu disebabkan kedua-dua kami mempu­nyai masalah kesihatan,” kata­nya ketika ditemui Utusan Ma­laysia di Kampung Keda Che Bema, di sini semalam.

Yusuf berkata, rumah yang mereka duduki kini hanya mem­punyai dua bilik sahaja dan disebabkan ruang rumah terhad mereka terpaksa membina ruang tambahan yang disambung di belakang rumah dengan menggunakan kayu dan atap rumbia.

“Saya dan isteri akan duduk berehat dan tidur di ruangan tambahan itu manakala anak-anak, menantu dan cucu pula akan tidur di dalam rumah.

“Dua bilik yang ada digunakan oleh anak-anak yang sudah berkeluarga untuk tidur manakala anak-anak yang masih bujang akan tidur di ruang tamu sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, bagaimanapun dia bersyukur kerana nasib keluarga mereka telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk daripada wakil rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menghulurkan pelbagai bantuan.

Katanya, ada juga pihak yang berjanji akan cuba membantu kami membina ruang rumah tambahan yang lebih besar dan selesa untuk kami.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang datang memberi sumbangan kepada kami dan berharap kehidupan kami akan bertambah baik selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Nor Harina Ayob berkata, pihaknya telah menghantar bakul makanan bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan ketika ini.

Katanya, anak OKU pasangan ini telah menerima bantuan bulanan OKU dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)juga telah meminta Norasikin yang berstatus ibu tunggal untuk membuat permohonan bantuan bulanan.

“Kita akan semak dulu permohonan tersebut dan bantuan akan diberikan mengikut kriteria kelayakan pemohon nanti,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *