Dalam Fasa 1, Aktiviti Berbasikal Dan Permainan Individu Dibenarkan Tapi Hanya Kawasan Kejiranan Sahaja

ISU SEMASA

PETALING JAYA: Kerajaan membuat keputusan untuk melakukan sedikit perubahan ke atas prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara bagi Fasa 1 dan dan Fasa 2.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

“Dalam Fasa 1, aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal 2 ke 3 meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malah, kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi meningkatkan produktiviti, manakala perkhidmatan perakaunan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari 6.00 pagi hingga 4.00 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT manakala waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang.

Tambah Ismail, pelabuhan, lapangan terbang, dan sektor logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 jam, pengoperasian lombong dan kuari juga dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP Perlombongan dan Pengkuarian.

“Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta persekutuan,” katanya.

Bagi Fasa 2, penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat.

Selain itu, waktu operasi premis perniagaan dari 6.00 pagi hingga 10.00 malam termasuk stesen minyak. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *