Suntik Vaksin Kosong Hanyalah Salah Faham , Malah Sudah Diberi Vaksin Sinovac

ISU SEMASA

KAJANG – Dakwaan seorang individu menerima suntikan ‘picagari kosong’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Bangi Avenue Convention Centre (BACC) sepertimana yang tular di laman Twitter adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, penafian insiden itu telah dibuat Ketua Pegawai Eksekutif, yang bertugas di PPV berkenaan sekitar pukul 2.50 petang, kelmarin.

“Laporan dibuat susulan ciapan di laman Twitter oleh seorang lelaki (penerima vaksin) yang mendakwa nyaris disuntik dengan vaksin kosong ketika pergi mendapatkan suntikan vaksin di PPV itu, Sabtu lalu.

“Polis mendapati petugas di PPV terbabit telah pun berhubung dan memberi penjelasan berkenaan prosedur pengambilan vaksin kepada individu itu dan dia telah berpuas hati,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, dakwaan individu itu merupakan satu salah faham apabila dia menyangka dirinya telah disuntik dengan vaksin kosong tetapi kejadian sebenar, dia telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.

“Setakat ini, tiada apa-apa laporan polis dibuat oleh individu tersebut atau mana-mana individu berkaitan dakwaan hampir ditipu ketika menerima suntikan vaksin di PPV itu.

“Laporan polis hanya dibuat pihak BACC untuk menjelaskan dan menafikan perkara tersebut (suntikan vaksin kosong) adalah tidak berlaku,” katanya.

Tambahnya, siasatan juga mendapati ciapan di ruangan komen Twitter tersebut dibuat oleh teman wanita penerima vaksin yang menyebabkan ianya tular sehingga mendapat maklum balas negatif daripada masyarakat.- K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *