Doktor Kontrak Mulakan Protes Serentak

ISU SEMASA

Lebih 30 doktor kontrak di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini menunjukkan solidariti kepada gerakan Hartal Doktor Kontrak dengan membuat perarakan aman di kawasan hospital tersebut.

Doktor kontrak mulakan protes serentak.Kumpulan doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan mengadakan protes di seluruh negara pagi ini bagi menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Difahamkan, kumpulan doktor itu mengadakan protes meskipun menerima tekanan daripada pihak atasan yang mengancam akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang menyertai ‘Hartal Doktor Kontrak’ (HDK).

Ramai daripada mereka membawa plakad dan poster berwarna hitam dengan mula meninggalkan hospital masing-masing secara serentak pada jam 11 ​​pagi ini.

Antara lokasi berkenaan termasuk Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, dan pusat kuarantin Covid-19 di Maeps, Serdang.

Menurut penganjur, doktor-doktor kontrak di hospital di negeri lain juga mengadakan protes yang serupa.

Pegawai perubatan yang dilantik secara kontrak sebelum ini mendesak kerajaan memberi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik kepada mereka.

Doktor kontrak junior juga menghadapi risiko kehilangan kerja setelah tamat tempoh lima tahun latihan mereka di hospital kerajaan.

HDK memaklumkan doktor kontrak juga tidak tertakluk untuk menerima faedah seperti yang diperolehi rakan sekerja mereka yang dilantik ke jawatan tetap, termasuk peluang memperkembangkan kerjaya mereka dalam bidang pengkhususan.

Pada Jumaat lalu, kerajaan menawarkan lanjutan kontrak kepada doktor kontrak sehingga empat tahun.

Namun Perdana Menteri memberi jaminan akan memastikan mereka menerima faedah yang serupa dengan doktor tetap.

Hartal Doktor Kontrak menyifatkan jaminan itu sebagai “setengah masak” dan berikrar meneruskan rancangan mereka mengadakan protes hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta doktor kontrak tidak menyertai protes hari ini dengan mengingatkan mereka akan sumpah jawatan.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/584534

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *