Hidilyn Diaz Diberikan Penerbangan Percuma Seumur Hidup Oleh Air Asia Filipine

ISU SEMASA

Kisah dogeng akhirnya menjadi kenyataan Memenangi pingat emas Olimpik pertama buat negaranya ternyata membawa tuah berganda dan rezeki yang tidak henti-henti kepada Hidilyn Diaz.

Terkini, menurut laporan portal berita Filipina, Rappler, Air Asia Filipina dilapor telah menghadiahkan penerbangan percuma sepanjang hayat kepada Diaz sebagai penghargaan diatas pencapaiannya di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Melalui ganjaran berkenaan, Diaz kini boleh mengunjungi lebih 140 destinasi yang dihubungkan oleh Air Asia merangkumi lokasi-lokasi popular di Asia, Australia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

”Kami mahu warga ASEAN percaya mereka mampu merealisasikan apa sahaja. Walaupun kita berdepan dengan cabaran dan keperitan ketika kita berusaha untuk pulih, kecekalan Diaz mengingatkan kita walau betapa berat beban yang dipikul, tetapi dengan kekuatan dalaman, ketabahan dan hati yang cekal akan memberikan kita kejayaan,” kata CEO Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.

Diaz mencipta rekod apabila muncul rakyat Filipina pertama memenangi pingat Emas Olimpik. Beliau meraih kejayaan berkenaan melalui acara angkat berat wanita kategori 55kg. Pada 2016, di Olimpik Rio, beliau membawa pulang pingat Perak dalam acara yang sama.

Setakat ini, beliau telahpun menerima ganjaran berjumlah 35.5 juta Peso (RM 2.98 juta) yang diberikan oleh ahli perniagaan tempatan, kerajaan Filipina dan kerajaan tempatan Zamboanga.

Selain itu, beliau turut menerima sebuah kondominium bernilai 14 juta Peso ( RM 1.18 juta) daripada  pemaju, Megaworld Corporation, satu lot tanah dan rumah daripada Century Properties Group serta beberapa hadiah mewah yang lain.

Kisah Diaz sebelum ini mendapat perhatian media tempatan apabila dilaporkan telah menumpang sebuah bangsal milik seorang penduduk kampung di Melaka untuk berlatih bagi mempersiapkan diri menuju Olimpik Tokyo 2020.

Beliau dilaporkan terkandas di Malaysia sejak Februari 2020 akibat pelaksanaan PKP. Kehadirannya di Malaysia ketika itu bertujuan untuk menjalani latihan disini bersama jurulatihnya yang berasal dari China, Gao Kaiwen, yang berpendapat ia adalah keputusan yang tepat sekiranya beliau ingin memenangi emas dalam temasya Olimpik kali ini.

 

 

 

Sumber: Rappler

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *