Pengerusi Perladangan Ambil Peluang Pajak 5 Tan Durian Beri Pada Frontliner

ISU SEMASA

IPOH: Sebanyak lima tan buah durian akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dan pusat pemberian vaksin (PPV) di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, agihan sama juga disampaikan kepada petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Sumbangan durian ini adalah penghargaan kepada petugas barisan hadapan di atas pengorbanan dan usaha mereka dalam membantu mengekang penularan Covid-19.

“Kebetulan sekarang musim durian, jadi kita ambil inisiatif membeli durian dan agihkan kepada mereka di SJR, PPV dan PKRC di Perak,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan durian kepada 260 petugas barisan hadapan di PPV Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Menurut Razman, sumbangan tersebut juga dapat membantu pengusaha durian yang berdepan masalah memasarkan raja buah itu sekali gus mengelak berlaku lambakan.

“Pasaran durian kini terhad, sukar untuk dipasarkan keluar (ekoran Perintah Kawalan Pergerakan), kita ada terima rungutan pengusaha kebun durian berkenaan perkara ini.

“Jadi, kerajaan negeri bersama pejabat Exco cuba bantu dengan membeli durian dan agihkan kepada penerima,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Razman memberitahu, bekalan air untuk pertanian masih terkawal biarpun berdepan musim kemarau sehingga September depan.

Tambah beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pemantauan dan perancangan rapi berkaitan perkara tersebut.

“Setakat hari ini, kita belum terima aduan dan rungutan. Bekalan air masih terkawal untuk pertanian dan tidak menjejaskan petani,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *