”Ada Sedikit Darah Beku di Paru-Paru. Doktor kata, Buat masa Sekarang Tak Boleh Apa-Apa lagi, Kita Doakan Bersama”- Shuib

ISU SEMASA

PETALING JAYA – “Sarah sudah ditiarapkan dengan harapan oksigen dan paru-paru boleh bekerjasama.”

Demikian kata Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, berkenaan kondisi terkini isterinya, Siti Sarah Raisuddin yang masih lagi bertarung nyawa dengan virus Covid-19.

Hampir 30 jam koma sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak semalam, Shuib memberitahu, selain bahagian paru-paru yang terkesan, jantung Sarah juga berada dalam keadaan lemah.

Ujarnya lagi, harapan mereka sekarang agar paru-paru boleh kembali normal dan bekalkan oksigen dalam badan.

“Memandangkan Sarah kena jangkitan Covid-19, paru-paru dia banyak terkesan. Jantung pun sudah lemah. Mungkin sepanjang pembedahan mengeluarkan bayi semalam, jantung sudah banyak bekerja.

“Difahamkan juga, ada sedikit darah beku di paru-paru. Doktor kata, buat masa sekarang tak boleh apa-apa lagi sebab semalam baru lepas menjalani pembedahan,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib meluahkan rasa terharu apabila setiap hari mendapat mesej dan kiriman gambar anak-anak tahfiz dan orang persendirian yang membaca Yasin dan doa selamat buat permaisuri hatinya.

“Saya terlalu terharu apabila dalam keadaan sekarang, ada saja orang hantar gambar anak-anak tahfiz baca Yasin.

“Terima kasih banyak sebab mendoakan Sarah. Ia satu rahmat terlalu besar untuk kami,” ujarnya. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *