Pasangan Jarak Jauh Dibenarkan Rentas Daerah Terutama Yang Lengkap Vaksinasi

ISU SEMASA

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan itu ialah pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Selain itu, kata beliau, pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing serta ibu bapa dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

Menurut beliau, aktiviti solat sahaja dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah dengan pihak pengurusan masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.

“Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat Selain Islam,” katanya dalam perutusan khas hari ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *