[TERKINI]“Tak kisah doktor cakap 40 ke, 30 ke (paras oksigen), saya yakin dia akan balik.” Shuib

ISU SEMASA

PETALING JAYA –  Tiada perkara lain yang diharapkan pelawak Shuib kini selain meletakkan keyakinan tinggi bahawa isterinya, Siti Sarah Raisuddin akan pulih dan dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta.

“Saya masih yakin dan pasti, selagi belum masanya. Saya yakin dan sangat yakin dia (Siti Sarah) akan balik,” jelas Shuib sebaik selesai sesi bacaan Yassin dan doa selamat bersama lebih 1,000 kenalan, peminat dan rakan media secara maya sebentar tadi.

Bapa kepada empat cahaya mata itu juga tidak mahu terlalu memikirkan perkembangan semasa bacaan paras oksigen dalam badan isterinya yang tidak stabil sepanjang lebih dua hari ditidurkan.

“Tak kisah doktor cakap 40 ke, 30 ke (paras oksigen), saya yakin dia akan balik. Terus doakan. Sama-sama kita doa minta perlindungan daripada Allah.

“Semoga dimudahkan urusan dan diberi kesihatan yang baik. Saya mohon sangat teruskan doa untuk isteri saya. Saya yakin, anak-anak juga yakin bahawa ibu mereka akan balik. Saya yakin. Ampunkan segala kesalahan dia, halalkan makan minumnya,” kata pelawak berusia 37 tahun itu dalam nada sebak.

Shuib yang pada awalnya kelihatan sugul selepas dimaklumkan doktor bahawa paras oksigen Siti Sarah menurun kepada bacaan 40 sebelum itu turut memohon bantuan daripada teman-teman rapat isterinya.

Dia meminta sesiapa yang mengenali rapat Siti Sarah agar memberi kata-kata semangat dan bercakap dengan isterinya walaupun dengan cara berhubungan menerusi gambar.

“Bercakaplah dengan dia. Beri semangat padanya. Itupun sudah cukup membantu.

“Walaupun cuma menerusi gambar, saya harap dia boleh dengar. Sebab dia sangat perlukan sokongan dan semangat yang kuat untuk bangkit serta pulih,” katanya lagi.

Sesi yang berlangsung sebentar tadi turut disertai beberapa rumah anak yatim yang menyaksikan penghuni di situ sama-sama mengalunkan bacaan surah Yassin dan mendoakan kesembuhan buat penyanyi lagu Kesetiaan itu.

Semalam sekitar pukul 4 petang, Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki dalam keadaan koma menerusi pembedahan bagi mengelakkan risiko akibat keadaannya yang agak kritikal.

Biarpun dilahirkan pra matang dan menggunakan bantuan pernafasan, bayi yang akan dinamakan sebagai Ayash Affan atas pilihan Sarah itu berada dalam keadaan stabil.

Siti Sarah, 37, sebelum ini dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa lalu berikutan tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot.

Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas menjalani saringan setelah pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.

Pasangan itu bernikah pada 2011dan dikurniakan  tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *