Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Baru?

ISU SEMASA

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO difahamkan sebulat suara menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Perkara itu dimaklumkan salah seorang ahli MKT ketika dihubungi Utusan Malaysia, bagaimanapun mesyuarat kini masih berlangsung antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli Parimen Barisan Nasional (BN).

Seorang lagi ahli MKT, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin ketika ditemui berkata, pihaknya menyerahkan kepada Ahli Parlimen BN untuk memuktamadkan calon Perdana Menteri yang layak diangkat mewakili parti berkenaan.

“Kita bersetuju untuk serah kepada Ahli Parlimen BN untuk putuskan siapa calon Perdana Menteri,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn malam ini.

Antara Ahli Parlimen BN yang hadir adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri M. Saravanan (Tapah).

Mesyuarat itu juga dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Terdahulu, Annuar menerusi posting dalam Facebooknya mendakwa lebih 69 ahli Parlimen bukan BN telah setuju untuk menyokong calon daripada gabungan itu untuk menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu, ia bermakna BN sudah hampir mendapat sokongan majoriti di Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

Sebelum jam 4 petang esok, kesemua ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan berkanun kepada Istana Negara dan menamakan calon Perdana Menteri kesembilan.

Penyerahan surat akuan itu perlu dibuat kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol. (Bersara) Nazim Mohd. Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *