”Malaysia Bakal Hasilkan Vaksin Sendiri, Kita Kena Bergerak Ke hadapan” – Dr. Adham Baba

ISU SEMASA

USAHA Malaysia menghasilkan sendiri vaksin Covid-19, menjadi jalan terbaik yang sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara kuasa besar bagi mendapatkan bekalan pelalian tersebut pada masa hadapan.

Malaysia mempunyai keupayaan menghasilkan vaksin Covid-19 pertama negara dengan mengembleng tenaga para saintis di negara ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan awam untuk melakukan inovasi terutamanya dalam pembinaan dan penghasilan vaksin.

Bekas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata penghasilan sendiri vaksin Covid-19 sangat penting bagi membantu negara mencegah wabak itu daripada terus menular.

Sehubungan itu katanya beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa MOSTI akan memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

“Penghasilan vaksin pertama dalam negara sangat penting, kita kena bergerak ke hadapan dan perlu yakin kerana kita mempunyai para saintis yang boleh digembleng tenaga untuk membuat ‘breakthrough’ dalam inovasi dan ‘penemuan saintifik’,” katanya.

Ahli Parlimen Tenggara yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Isnin berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Penyerahan Pelitup Muka di Taman Kota Jaya, hari ini.

 

Sementara itu Dr Adham berkata pihaknya merancang untuk membuat ‘perjanjian dua hala’ dengan negara lain yang telah berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 termasuk China, India dan Thailand.

Beliau pada masa sama menjelaskan akan mengadakan lawatan ke sebuah kilang ‘fill and finish’ vaksin CanSino di Kuala Lumpur Isnin ini.

“Salah satu tanda awal bahawa kita boleh menghasilkan vaksin adalah dengan mewujudkan kilang ‘fill and finish’ ini.

“Vaksin yang kita akan hasilkan perlu dibotolkan, jadi telah ada teknologi ‘fill and finish’ ini, namun perlu dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *