” Minggu Depan kita Akan Mula Vaksinasi Bagi Golongan Remaja Berusia 12 Hingga 17 Tahun” – KJ

ISU SEMASA

Putrajaya: KKM menunjukkan petunjuk prestasi utama sebagai sasaran tempoh 100 hari agar situasi Covid-19 di Malaysia mencapai endamik menjelang Oktober ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KPI itu, yang kebanyakannya berkisar kepada usaha menangani ancaman pandemik Covid-19, adalah bagi memastikan persiapan dan peralihan ke arah sasaran itu dilaksanakan dengan cara terbaik.

“Fokus kita ialah memastikan rakyat dapat memahami norma baharu dengan baik apabila memasuki fasa endemik. Bagaimanapun, KKM juga takkan sesekali meninggalkan hal-hal kesihatan yang lain (bukan berkaitan Covid-19),” katanya dalam temu bual khas mengenai KPI 100 hari KKM di bawah pentadbiran beliau di sini.

Khairy berkata, antara KPI yang difokuskan ialah program vaksinasi kepada remaja berumur lingkungan 12 hingga 17 tahun dan pengumuman dasar bagi dos ketiga vaksin.

Beliau berharap seramai mungkin remaja menerima vaksin lengkap menjelang pembukaan sekolah tahun depan.

“Dalam tempoh 100 hari, kita akan mula vaksinasi bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun. Sasaran (jumlah penerima) kita akan umumkan berdasarkan bekalan vaksin tetapi sudah pasti kita akan berikan vaksin kepada golongan ini.

“Ia bermula minggu depan di negeri Sarawak dahulu sebab mereka sudah capai nilai ambang 80 peratus. Harapan saya dalam 100 hari ini, seramai mungkin remaja akan dapat terima vaksin mereka supaya awal tahun persekolahan nanti remaja kita sudah lengkap terima vaksin mereka,” katanya.

Khairy berkata dalam tempoh sama, sasaran 80 peratus populasi dewasa di Malaysia menerima vaksin lengkap akan dicapai.

Selain vaksinasi, KKM akan memberi perhatian dari sudut rawatan penghospitalan pesakit Covid-19.

Katanya, dalam tempoh 100 hari, KKM juga bertekad mengurangkan jumlah penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 membabitkan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bukan ICU.

“Kita akan pastikan peratusan penggunaan katil ICU untuk Covid-19 adalah kurang 70 peratus manakala katil bukan ICU bagi kes Covid-19 kurang 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata, silinder oksigen di fasiliti kesihatan juga akan dipastikan mencukupi dan setiap fasiliti mempunyai silinder oksigen melebihi 85 peratus keperluan.

Khairy turut mensasarkan penurunan peratusan kes kematian di luar hospital (BID) daripada 21 kepada 15 peratus selain memperluas inisiatif Pusat Penilaian Covid-19 Secara Maya (VCAC) di Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Perak.

Menyentuh prosedur operasi standard (SOP) menjelang endemik, beliau berkata, KKM akan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi mengeluarkan kerangka SOP yang lebih jelas serta mudah difahami oleh rakyat.

“Ia akan memberi tumpuan terhadap usaha pematuhan dan pemahaman rakyat dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya akan berkongsi data berkaitan Covid-19 kepada umum secara terperinci bermula Isnin ini dalam usaha meningkatkan ketelusan KKM dan kepercayaan orang ramai terhadap kementerian itu.

Mengakui kewujudan varian baharu Covid-19 yang lebih cepat merebak sebagai satu cabaran, Khairy bagaimanapun berkata, KKM akan meningkatkan pemantauan genom dalam memastikan jenis varian yang dikesan di Malaysia.

Katanya inisiatif lain yang disasar termasuk mengeluarkan data ujian klinikal bagi Ivermectin dalam rawatan Covid-19.

Khairy berkata, KKM juga akan meluluskan lebih banyak kit ujian kendiri serta memperluas premis yang dibenarkan menjualnya selain farmasi dan fasiliti kesihatan, dengan meletakkan syarat-syarat berkaitan kawalan penjualan.

Bagi golongan b40 pula kerajaan akan memberikan kit ujian kendiri dan saringan covid-19 secara percuma sebagai langkah meningkatkan perlindungan kepada golongan tersebut dalam afas endemik.

 

sumber: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *