70% Guru Yang Mengajar Hanya Ada 3A Dalam SPM

ISU SEMASA

GEORGE TOWN: Untuk memohon menjadi guru di mana-mana sekolah semestinya keputusan SPM haruslah mencapai keputusan yang cemerlang agar kualiti pendidikan dinegara kita akan sentiasa bergerak ke hadapan setanding dengan negara-negara maju. Baru-baru ini Satu kumpulan pendidikan menggesa lebih banyak diusahakan untuk meningkatkan tahap latihan profesional pendidik di negara ini,

susulan sekurang-kurangnya 70% guru dikesan mendapat tidak lebih daripada 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Chen Li-Kai dari Teach For Malaysia berkata, walaupun keputusan akademik bukanlah penanda aras utama dalam pengajaran berkualiti, sasaran untuk mengambil guru dengan sekurang-kurangnya 7A dalam SPM patut menjadi sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya, walaupun negara ini mempunyai ramai guru dan pembantu pengajar yang hebat, syarat kemasukan ke institut latihan perguruan sepatutnya mematuhi aspirasi dalam Pelan itu.

“Satu daripada anjakan utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan adalah supaya 70% kemasukan ke institut latihan perguruan memiliki sekurang-kurangnya 7A dalam SPM. Langkah itu mampu meningkatkan kualiti pengajaran kita.

“Wujud keperluan untuk memperkembangkan tahap profesional serta latihan pedagogi (kaedah pengajaran), selain memastikan konsistensi dalam pengajaran. Perkara ini penting untuk difokuskan.

“Kita perlu mengubah pendidikan supaya menjadi profesion pilihan, bukan sekadar pilihan akhir,” katanya dalam forum G25 bertajuk “Reflections on the Malaysian Education Blueprint.”

Chen berkata, dengan sekurang-kurangnya 50% daripada sekitar 400,000 guru dan pembantu pengajar menggalas tanggungjawab mendidik untuk 20 tahun akan datang, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membantu mereka memperbaiki kaedah penyampaian.

“Ini cabaran besar. Paling penting adalah untuk memperbaiki kualiti pengajaran dan melabur dalam sistem pendidikan,” katanya.

Sementara itu, bekas menteri dan teknokrat, Idris Jala berkata walaupun ada kekurangan, masih terdapat guru yang baik yang dihasilkan.

Katanya, kaedah pemikiran adalah perkara yang membezakan antara guru baik atau sebaliknya. Susulan itu kerajaan perlu menemui guru-guru yang terbaik bagi menggunakan pendekatan mereka di tempat lain.

“Kita boleh mendapatkan guru yang terbaik dalam bidang geografi, sejarah dan matematik, sebagai contoh, dan temu bual mereka.

“Minta mereka dedahkan kaedah pengajaran dan selaraskannya. Ini kemudian boleh digunakan untuk kira-kira 400,000 guru yang lain.

“Dengan cara ini kita boleh mencapai peningkatan. Apa yang penting bukan kurikulum tetapi bagaimana matapelajaran diajar,” katanya.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, calon yang terpilih untuk institut latihan perguruan dinilai berdasarkan pelbagai faktor termasuk sikap, kebolehan mengajar dan perwatakan.

Ia menyatakan, calon mesti mempunyai sekurang-kurangnya tiga markah cemerlang dan tiga kredit dalam SPM untuk menjadi guru pelatih.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan berkata ia kini akan memberi keutamaan kepada calon yang memiliki minimum tujuh markah cemerlang.

 

sumber: FMT

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *