Kambing ”Black Metal” Jarang Ditemui

ISU SEMASA

Pasir Mas: Orang ramai memberikan tawaran tak putus-putus untuk membeli seekor biri-biri malin di Kampung Atas Pinggir ,gara-gara berwajah bengis.

Biri-biri yang berwarna hitam keseluruhan badan itu diternak Ahmad Baihaqi Mohamad, 31, sejak dua tahun lalu.

Ternakan yang dipanggil Mafia itu ditawarkan dengan harga sehingga RM3,500 seekor berbanding harga pasaran semasa RM1,000 hingga RM1,500 seekor.

Ahmad Baihaqi berkata, biri-biri malin itu diternak secara turun-temurun daripada zaman datuknya sebelum diwarisi bapa, Mohamad Ismail,60.

“Memandang ayah sudah berusia, saya dan adik, Hassan Basri, 25, pula yang mengambil alih menternak biri-biri malin itu.

“Kecantikan dan keunikan yang ada pada biri-biri ini menyebabkan ia dipertandingkan dalam pertandingan biri-biri di negeri ini.

“Kami menternak biri-biri itu bukan sebagai pedaging tetapi sebagai ternakan hiasan yang dipertandingkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dia berkata, dia mempunyai 39 ekor biri-biri malin dan memperuntukkan kos makanan sehingga RM300 sebulan selain pemberian rumput.

“Seronok ternak biri-biri itu kerana ia cantik dan bergaya seterusnya menghilangkan tekanan selepas pulang daripada kerja.

“Sebenarnya ramai yang tawarkan harga tinggi untuk membeli biri-biri itu tetapi saya sayang untuk menjualnya.

“Paling kerap ditanya dan mendapat tawaran tinggi ialah Mafia kerana rupanya memang sukar ditemui selain dikaitkan dengan Black Metal,” katanya.

Menurutnya, biasanya tujuan penternakan biri-biri malin itu untuk menyertai pertandingan biri-biri janguk di negeri ini.

“Setakat ini, penternakan biri-biri malin itu hanya meluas di negeri ini kerana ia ialah hobi tradisi sejak turun-menurun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *