Hanya Negeri Sabah Tidak Dibenarkan Merentas Negeri Kerana Masih Ramai Anti-Vaksin ?

ISU SEMASA

KOTA KINABALU:  Negeri Sabah tidak akan dibenarkan merentas negeri dalam tempoh terdekat ini kerana kadar pengambilan vaksin masih rendah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran rentas negeri akan dipertimbangkan sebaik sahaja kadar vaksinasi populasi dewasa di Sabah mencapai tahap yang munasabah.

“Kita akan mempertimbangkan (rentas negeri) apabila kita mencapai kadar vaksinasi penduduk yang munasabah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat semalam, seramai 2.06 juta atau 74.8 peratus penduduk dewasa Sabah telah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, seramai 1.85 juta atau 67.4 peratus penduduk dewasa menerima vaksin yang lengkap.

Justeru, pergerakan di Sabah akan kekal mengikut sistem zon seperti yang dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu.

Ketika ini, pergerakan rentas daerah di Sabah dibahagikan kepada lima bagi daerah-daerah yang sudah mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi.

Sementara itu, tujuh daerah tidak dimasukkan dalam zon dan kekal sebagai daerah persendirian kerana kadar vaksinasi penduduk dewasa belum mencapai 60 peratus. Ia termasuk Kinabatangan, Telupid, Sandakan, Tawau, Semporna, Papar dan Nabawan.

Hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan Sabah satu-satunya daerah yang belum mencapai unjuran 80 peratus penduduk dewasa divaksin. Maka, program jangkauan luar (outreach) akan diperhebatkan di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan kebenaran rentas negeri akan diumumkan sebaik negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi.

Berdasarkan laman Covidnow, seramai 20.78 juta atau 88.8 peratus penduduk dewasa telah divaksin di Malaysia setakat semalam.

Perkembangan ini memberi gambaran awal bahawa sasaran 90 peratus boleh dicapai sekurang-kurangnya pada minggu ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *